Sunday, August 15, 2010

Rakyat gesa kerajaan mansuh saman ekor

Sumber: HarakahDaily.Net

SHAH ALAM, 15 Ogos: Lapisan rakyat menggesa kerajaan memansuhkan memansuhkan saman ekor kerana diragui kesalahan jalan raya yang melibatkan sesebuah kenderaan sehingga disenaraihitam.

Dari tinjauan petang semalam, iaitu tiga hari selepas Menteri Pengakutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menangguhkan syor menyenaraihitamkan pesalah trafik dari memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan, ramai yang kurang bersetuju dengan syor terbaru itu.

Roslan Abu Bakar, 50, berbendapat bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri sepatutnya menghapuskan terus sistem saman ekor.

"Lebih baik batalkan terus, kira hadiah duit rayalah untuk masyarakat," ujarnya yang juga Nazir Masjid Lapangan Subang.

Baginya, mereka yang didakwa bersalah kebanyakannya seakan meragui keabsahan sistem saman ekor.

"Lagipun pemilik kenderaan sendiri tak tahu betulkan mereka bersalah dengan saman-saman ekor ini," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan pengumuman Kong untuk menangguhkan syor itu sehingga tahun depan.

Beliau turut menyuarakan penghargaan pada Kempen Anti Saman Ekor (Kase) selaku badan bertindak dalam mendapatkan maklum balas daripada rakyat.

"Badan bertindak Kase ini dialu-alukanlah, tetapi bantah saman ekor ini suara rakyat."

Bagi Nor Azmi Mat Nasir, 50, pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), langkah penangguhan itu lebih dilihat bermusim.

"Langkah penangguhan ini bagus, tapi kadang-kadang bermusim.

"Bila orang ramai banyak protes, baru ditangguhkan saman ekor ini, bukan mansuh," ujarnya.

Sepatutnya kerajaan, menurut beliau tidak wajar menguatkuasa saman ekor kerana syor itu nyata menambahkan kos yang sedia terbeban oleh rakyat.

Lanjutan itu, beliau berpendapat bahawa syor tersebuk elok dimansuhkan.

"Kos barang naik, sepatutnya mansuh terus untuk kepentingan awam," ujarnya sambil mengaku bahawa beliau adalah salah seorang mangsa yang disenaraihitamkan melalui syor kerajaan itu.

Bagi Ustaz Mohd Nazmi Din, 33, Pengerusi Dana Pembela, badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan dan kebajikan pula menyifatkan penangguhan syor saman ekor itu semata-mata untuk meredakan amarah rakyat.

"Ia adalah cubaan untuk mengalih balik sokongan rakyat selepas rakyat marah, sebab rakyat lihat tak praktikal saman ekor.

"Lagi pun, rakyat lihat yang cara polis saman ekor pun tak ikut prosedur,” katanya.

Ujarnya lagi, kaedah saman ekor seakan memangsakan pemilik kenderaan tidak kira kenderaan milikan peribadi atau perniagaan, sedangkan kesalahan trafik dalam beberapa kes tertentu sebenarnya menunjukkan individu lain yang memandu kenderaan mereka.

"Kadang-kadang orang lain yang bawa (pandu kenderaan), tetapi yang jadi mangsa adalah pemandu kenderaan sendiri," ujarnya.

Beliau turut menyifatkan syor itu sebagai suatu langkah tidak bijak kerajaan ekoran penguncupan sumber pendapatan negara.

"Ini bagi saya adalah suatu kebodohan kerajaan dalam menguruskan sumber pendapatan negara.

"Apabila mereka sudah kurang sumber pendapatan negara, maka dia nak bebankan rakyat pula," dakwa beliau.

Beliau mencadangkan, Kase mengadakan perhimpunan raksasa mangsa saman ekor serta mengurif referandum daripada mereka sebelum sekali lagi bertemu dengan menteri berwajib.

Menurut Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar , 32, pengamal Perubatan Islam Darussyifa', penangguhan syor itu adalah bersifat sementara.

"Kita minta dimansuhkan, kerajaan tangguh, apabila tangguh-tangguh ini maknanya dia kuatkuasa pula," ujarnya sambil mendakwa kerajaan akan mencari waktu dan kondisi lain yang lebih sesuatu untuk melaksanakan polisi saman ekor tersebut.

"Kita bukan saja-saja suruh hapus sistem saman ekor ini, sistem ini sebenarnya menzalimi rakyat, rakyat didesak bayar saman padahal mereka sendiri pun tak pasti akan semua itu.

"Kalau tak ada duit pun, jangan cari helah lain dengan perkenal syor-syor bodoh ini (saman ekor) untuk carik duit (serta) tampung kewangan kerajaan itu sendiri," ujarnya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan meniru sistem saman trafik di United Kingdom dengan mengwar-warkan terlebih dahulu kawasan yang tidak dibenarkan pemanduan laju serta menempatkan pemantau trafik secara terbuka.

"Kalau di UK, kalau nak buat 'speed trap', dimaklumkan terlebih dahulu dan polis trafiknya ditempatkan di tempat terbuka, bukan menyorok seperti polis trafik Malaysia."

"Polis trafik di sana betul-betul nak didik pemandu, bukan cari makan macam segelintir polis trafik kita," dakwanya.

Beliau turut mencadangkan Kase diteruskan dengan menjadi badan pemantau (watch dog) pada beberapa kementerian berwajib supaya rakyat boleh disedarkan dengan beberapa peraturan tidak munasabah yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Bagi Pengerusi Ikatan Anak Perak Di Perantauan (IKAPP), Cikgu Idzam Ahmad, saman ekor sebenarnya tidak menyelesaikan masalah pokok, iaitu kemalangan jalan raya.

"Sebenarnya kemalangan jalan raya paling banyak berlaku bukan di lebuh raya, tetapi di jalan-jalan bandaran dan pekan-pekan.

"Kemalangan banyak juga berlaku di jalan-jalan kampung dan desa kalau dilihat pada statistik yang didedahkan mereka sendiri.

"Kalau sebab utama saman ekor untuk tangani kemalangan di lebuh raya kononnya, kemalangannya tidak banyak, pelaksanaan saman ekor ini nampak tak logiklah," ujarnya yang juga pesara guru kakitangan kerajaan.

Beliau turut mencadangkan kementerian berwajib mengkaji semula kadar pecutan wajar kenderaan di lebuh raya dengan mengambil kira realiti pecutan optimum kebanyakan kereta masa kini.

No comments:

Post a Comment