Friday, August 6, 2010

Pendatang lolos: Hisham patut bertanggungjawab

Sumber: MalaysiaKini

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menuntut Menteri Dalam Negeri supaya bertanggungjawab atas kejadian sekumpulan 20 warga Afghanistan meloloskan diri dari sebuah pusat tahanan Imigresen Ahad lalu.

Setiausaha agung MTUC, G Rajasekaran berkata menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein sepatutnya memikul tanggungjawab atas insiden berkenaan dan bukannya mencari kesilapan orang lain.

Dua puluh Afghanistan itu merupakan mangsa dalam kes pemerdagangan orang dan seksyen 25 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 memperuntukkan bahawa mangsa dalam kes seperti itu tidak boleh dilayan sebagai tahanan.

"Apa yang jelas, 20 orang mangsa (warga) Afghanistan ini dilayan lebih seperti tahanan, yang semestinya menyebabkan rasa kekecewaan dan ketidakpuasan hati," tambah Rajasekaran.

Menurutnya lagi, keadaan inilah yang mungkin membuatkan mereka cenderung untuk melepaskan diri.

Dalam kejadian tersebut, warga Afghanistan itu dipercayai memotong jeriji di dua pintu halangan sebelum menyusup keluar daripada Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal pagi Ahad lalu.

"Beliau tidak memikul tanggungjawab itu sebagai menteri dalam negeri, sebaliknya beliau menyatakan bahawa ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Imigresen dipertanggungjawabkan atas insiden tersebut.

"Sebagai menteri bertanggungjawab, beliau seharusnya memastikan kesemua ketua (di bawahnya) melengkapkan prosedur yang betul untuk memastikan keselamatan di pusat tahanan, dan tidak mencari orang untuk dipersalahkan selepas insiden (berlaku)," kata Rajasekaran dalam satu kenyataan hari ini.

Rajasekaran turut mempersoalkan sama ada Hishammuddin telah melawat pusat tahanan terbabit untuk memastikan keadaan pusat tersebut sesuai untuk dijadikan pusat jagaan mangsa kes pemerdagangan orang.

Jelasnya, seksyen 42 dalam akta berkenaan turut memperuntukkan kuasa menteri untuk mewartakan sesuatu bangunan sebagai pusat jagaan mangsa dalam kes seperti itu.

No comments:

Post a Comment